top of page
Search

Mengapa perlu logo Halal Malaysia

  • Oleh Lokman Ab. Rahman
  • Apr 9, 2004
  • 4 min read

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa logo halal yang dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu Halal Malaysia. Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras bahawa sesuatu barangan itu dibenarkan atau harus digunakan sama ada dari segi hukum, keselamatan dan mutu. Sudah memadai dengan satu perkataan halal yang boleh berdiri sendiri.

Inilah suatu keunikan di Malaysia. Sebelum penandaan halal menjadi faktor penting dalam dunia perniagaan hari ini, ia telah tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Melayu Islam yang amat sensitif terutamanya bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian.

Masyarakat Malaysia yang terbina di atas pelbagai bangsa, agama dan budaya merupakan aset penting dalam membentuk pensijilan halal Malaysia.

Pada umumnya penggunaan logo dan sistem pensijilan ini semata-mata untuk kelompok pengguna Melayu Muslim di negara ini bagi memudahkan mereka membuat pilihan barangan tanpa ragu-ragu di pasaran. Sebaliknya setelah diperkenalkan hampir sepuluh tahun, sambutan kehadirannya amat mengejutkan. Perkataan halal hari ini bukan lagi menjadi milik mutlak etnik Melayu Muslim.

Golongan peniaga yang rata-ratanya dipegang oleh etnik China mula sedar kepentingan halal dan menuntut supaya produk barangan mereka diberikan pengesahan halal sedangkan mereka majoritinya bukan penganut Islam.

Perubahan ini telah memecah tembok sempadan perbezaan agama dan merentasi sempadan perbezaan budaya yang mana selama ini kita salah menganggap piawaian halal hanyalah untuk penganut Islam sahaja.

Begitu juga pemilik industri Eropah seperti Amerika Syarikat, Jerman, Belanda dan New Zealand mereka membuat pelaburan besar di negara ini. Di Asia, Jepun dan Thailand juga tidak kurang pentingnya dalam hal ini. Mereka menjadikan logo halal sebagai alat pemasaran untuk memenangi hati pengguna.

Golongan pengeluar telah meletakkan nilai label halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbanding produk yang dikeluarkan. Kadangkala tanpa label halal rasmi yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jabatan/Majlis Agama Islam mereka menganggap sukar memasarkan produk, malah dalam keadaan tertentu pengguna akan mempertikaikannya.

Kini logo halal telah menjadi nilai komersial yang begitu penting dan tinggi mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.

Demi tujuan perniagaan, ada kalanya pihak pengeluar begitu melampau. Mereka seboleh mungkin cuba mengeksploitasi para pengguna dan pembeli dengan memakai logo halal pada semua barangan tidak kira apa jenis produk yang dipasarkan. Hal ini menimbulkan kebimbangan menyebabkan lahir desakan supaya logo haram turut diperkenalkan.

Sebenarnya, di antara kepentingan peniaga dan jaminan kepada pengguna, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam negeri mengawalnya berdasarkan tuntutan syarak. Oleh itu tidak semua permintaan pengusaha yang memohon penggunaan logo dan sijil halal dapat dipenuhi.

Produk asli yang tidak melalui proses produksi seperti rempah-ratus, air mutlak, buah-buahan dan ikan adalah tidak perlu kepada pensijilan halal. Ringkasnya kesemua bahan asli yang tidak melalui proses pengubahsuaian, penambahan dan pemeraman adalah bahan yang tidak tersenarai bagi permohonan halal.

Sebagai jaminan keselamatan pengguna, logo halal tidak dibenarkan dicetak pada bahan gunaan yang berisiko seperti bahan cecair pencuci dan sijil halal hanya dikeluarkan kepada pemohon sahaja.

Jakim sebagai badan penyelaras pensijilan halal Malaysia telah memperkenalkan logo halal baru yang standard di seluruh negara. Logo standard ini menjawab terhadap segala persoalan dan kekeliruan yang seringkali timbul oleh orang ramai, memandangkan setiap jabatan agama Islam negeri-negeri mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri.

Logo baru ini hanya mengandungi perkataan halal dalam tulisan Arab-jawi dan perkataan Malaysia dalam tulisan Rumi. Yang membezakan di antara logo-logo halal yang dikeluarkan hanya dapat dikenali berdasarkan kod nombor mengikut kod nombor kad pengenalan berdasarkan negeri-negeri yang diguna pakai di Malaysia.

Sebagai panduan kepada pengguna, logo baru yang keluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah berwarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenarkan menggunakan warna-warna yang lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikit pun merubah spesifikasi logo asal.

Dengan memperkenalkan logo baru ini pada 2003 lepas, maka secara langsung logo-logo lama yang masih beredar di pasaran seperti yang tercatat perkataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan/Majlis Agama Islam negeri dijangka akan dapat dihapuskan sehingga di penghujung tahun ini, 2004.

Tujuan utama pengenalan logo ini ialah untuk penyelarasan, di samping strategi untuk menghapuskan penggunaan logo halal palsu seperti BAHIES dan sebarang pelabelan halal yang tidak disahkan oleh mana-mana pihak berautoriti Islam negara ini.

Label halal yang banyak digunakan oleh pihak premis tanpa pengesahan rasmi Jakim tidak boleh dipertanggungjawabkan sungguhpun penggunaannya tiada sekatan dari segi perundangan. Kesemuanya ini dimulakan di Malaysia dan tidak negara Islam lain.

Pendekatan ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan logo-logo yang dikeluarkan oleh badan-badan Islam seperti Indonesia, Amerika Syarikat, Thailand dan Singapura. Indonesia hanya mengunakan perkataan halal dalam tulisan Arab, Majlis Makanan dan Nutrasi Amerika (IFANCA) yang begitu dominan di AS menggunakan simbol `M' yang merujuk kepada Muslim dan Thailand menampilkan kalimah Syaikh al-Islam yang merujuk kepada badan Islam yang berautoriti di sana.

Di Malaysia, sungguhpun logo halal nampak begitu gah dan berpengaruh di kalangan pengguna dan pengusaha, tetapi pemakaiannya adalah tidak diwajibkan dari segi undang-undang.

Kekuatannya ialah sebagai simbol jaminan kualiti berasaskan syarak yang menekankan aspek mutu produk, kesucian dan keselamatan. Ia merupakan suatu pilihan kepada pengeluar memohon untuk menggunakannya dan ia dikeluarkan secara pentadbiran oleh pihak Jakim/Jabatan Agama Islam negeri.

Sesetengah pihak menganggapnya sebagai tanggungjawab sosial. Namun demikian penggunaannya telah berubah secara mendadak menjadi keperluan pihak industri pengeluar produk makanan dan barangan gunaan untuk meyakinkan pengguna.

Melalui elemen halal, kerajaan berjaya membuka peluang persaingan perniagaan antara pengeluar supaya barangan menjadi lebih berkualiti tinggi dan meyakinkan. Iklim perdagangan yang sihat ini telah berjaya dirintis di pasaran tempatan dan mula giat melebar di persada perdagangan antarabangsa.

- Lokman Ab. Rahman ialah Pegawai Kajian Makanan & Barangan Gunaan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz44AicAAMx © Utusan Melayu (M) Bhd

Logo HALAL JAKIM

 
 
 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page